Tuesday, August 19, 2025

Permulaan Baru: Langkah Kecil Menuju Hafizatul Quran

Hari ini saya ingin mencatat sesuatu yang sangat besar dalam hidup saya. Walaupun usia saya hampir menuju 40 tahun, saya baru sahaja memulakan langkah pertama untuk menjadi seorang hafizatul Quran.

Sejujurnya, sejak kecil lagi aku meminati al-Quran. Saya suka membaca, mendengar alunannya, dan pernah juga cuba menghafaz beberapa surah. Namun, perjalanan itu tidak pernah sampai ke penghujungnya. Kesibukan dunia, tanggungjawab harian, dan kelemahan diri membuatkan saya semakin hanyut, sehinggakan impian menjadi seorang hafizah semakin kabur.

Tetapi hari ini, aku katakan pada diri sendiri: “Belum terlambat untuk bermula semula.” Walaupun usiaku bukan lagi muda, saya percaya Allah sentiasa membuka pintu bagi sesiapa yang ingin dekat dengan kalam-Nya. Dan aku tidak mahu lagi hanya sekadar menjadi orang yang membaca, aku mahu cuba menjadi orang yang menghafaz dan menyimpan al-Quran di dalam hati.

Perasaanku sering bercampur-campur – gementar, takut tidak istiqamah, tapi dalam masa yang sama sangat teringin menjadikan al-Quran sebagai sahabat. Saya tahu perjalanan ini bukan mudah. Akan ada ujian, rasa malas, mungkin juga rasa putus asa. Namun, saya mahu memandangnya sebagai sebuah perjalanan yang indah, kerana setiap ayat yang akan aku hafaz adalah cahaya yang aku kumpulkan sedikit demi sedikit untuk hari esok.

Aku sangat mengharap semoga Allah permudahkan langkah kecilku ini, menguatkan hatiku, dan menjadikan perjalanan ini sebagai bekalan yang paling berharga dalam hidupku. Aku juga berharap catatan ini dapat menjadi penguat semangat untuk diri sendiri di masa hadapan – bahawa aku pernah mula, dan insyaAllah akan terus berusaha hingga sampai ke matlamat.

🌸 Ya Allah, jadikanlah aku penjaga al-Quran-Mu, walaupun dengan segala kelemahan diriku.

No comments:

Post a Comment