Sudah tiga hari aku memulakan langkah kecil untuk kembali menghafaz al-Quran. Aku memilih untuk bermula dengan Surah al-Baqarah, halaman 2 hingga 4. Surah ini terasa agak mudah di awalnya kerana aku sudah terbiasa mendengarnya, menyebutnya, dan ia juga merupakan surah kedua dalam al-Quran.
Namun, sepanjang tiga hari ini, ada beberapa kesukaran yang aku hadapi. Pertama, ada kalimah-kalimah yang berulang sehingga aku kerap tersasul ke ayat lain. Kadang-kadang terasa macam otak sudah hafal, tapi lidah pula laju melangkah ke bahagian yang salah. Kedua, aku sering terlupa awal ayat – seakan-akan kosong sebentar sebelum aku dapat menyambungnya kembali.
Selain itu, aku juga tidak dapat menghafaz dengan kadar sehari satu muka surat seperti yang aku impikan. Kehidupan sebagai seorang yang bekerja dan dalam masa yang sama perlu mengurus anak-anak bersekolah membuatkan masa begitu terhad. Kadang-kadang aku hanya sempat mengulang sedikit sebelum tidur, atau di sela waktu senggang yang singkat. Walaupun begitu, aku tetap berusaha agar setiap hari ada juga walau sebaris ayat yang dapat aku ulang dan kuatkan hafalannya.
Dalam masa yang sama, aku bersyukur kerana ada kelebihan yang Allah mudahkan untukku. Sebagai seorang guru Bahasa Arab dan juga penuntut bidang Bahasa Arab, aku sudah terbiasa dengan susunan ayat dan maksudnya. Hal ini sangat membantu kerana aku bukan sekadar menghafaz bunyi, tetapi juga dapat mengingat maksud ayat mengikut urutan. Itu menjadikan hafazan terasa lebih dekat di hati dan lebih mudah untuk diingati.
Daripada pengalaman ini, aku sedar ada beberapa perkara penting yang perlu aku jaga untuk terus istiqamah:
-
Perlu ulang hari-hari – tanpa pengulangan, hafalan cepat hilang. Lebih baik ulang sedikit setiap hari daripada banyak sekali tetapi ditinggalkan lama.
-
Elakkan mendengar lagu-lagu lain – kerana alunan lagu mudah melekat dalam fikiran, dan kadang-kadang mengganggu tumpuan hafazan. Lebih baik telinga ini dibiasakan dengan bacaan al-Quran.
-
Fokus ketika menghafaz – aku perlu pastikan hati dan fikiran betul-betul hadir, bukan sekadar baca sambil lalu. Bila fokus, ayat lebih mudah melekat di ingatan.
Walaupun ada cabaran, aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk bermula semula. Biarpun tersasul dan terlupa, aku mahu menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan indah ini. Setiap kesilapan adalah tanda bahawa aku sedang belajar, dan setiap ulang baca adalah satu bentuk kasih sayang Allah untuk mendekatkan aku dengan kalam-Nya.
🌸 Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk aku mengulang, mengingat, dan menyimpan ayat-ayat-Nya dalam hati.
No comments:
Post a Comment