Saturday, August 23, 2025

Dia yang Allah Hadirkan dalam Hidup Saya

Saya ingin mencatat perjalanan hidup bertemu insan yang bergelar suami sebagai kenangan. Supaya suatu hari nanti, bila saya membaca kembali, saya akan tersenyum mengingat setiap detik yang Allah susun untuk kami.

Bila aku menoleh kembali ke belakang, aku tersenyum sendiri. Rupanya perjalanan ini sudah Allah atur sejak awal, cuma aku tidak pernah menyedarinya.

Perkenalan kami bermula dengan cara yang sangat biasa. Kami hanya saling add friend di WeChat, tanpa bertegur sapa. Hari-hariku berjalan seperti biasa, begitu juga hidupnya. Kami sekadar tahu kewujudan masing-masing, tidak lebih daripada itu.

Sampailah pada satu hari, dia memuat naik satu status tentang kopi yang dibuatnya untuk ayah. Ringkas sahaja, tapi entah mengapa, hatiku terasa disentuh. Mungkin kerana aku nampak nilai kasih seorang anak kepada ayahnya. Tanpa berfikir panjang, aku tinggalkan komen. Itulah kali pertama aku menyapanya, dan dari situ bermulalah perbualan yang tidak pernah aku jangka akan berpanjangan.

Waktu itu aku sedang menjalani latihan praktikal mengajar di sebuah sekolah. Sibuk dengan tugasan, persediaan RPH, dan cabaran sebagai bakal guru. Dia pula sedang memikul tanggungjawab yang berat — bekerja di sebuah mall di Batu Pahat demi menyara keluarganya. Ayahnya sudah uzur tua, ibunya seorang OKU, kakaknya sedang sakit kanser tahap akhir, sementara seorang lagi kakaknya berada jauh di Terengganu bersama suami.

Aku terdiam bila mendengar kisah hidupnya. Ujian itu begitu berat, tetapi dalam tutur katanya, tidak pernah ada keluhan. Dia tenang, kuat, dan tabah. Dan aku… aku mula belajar menghargai sisi dirinya yang aku belum kenal sepenuhnya. Lebih membuatkan aku tersentuh, dia terpaksa berhenti belajar dalam bidang kulinari di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru ketika baru di semester dua. Semuanya demi keluarga, kerana tanggungjawab lebih besar menantinya berbanding mengejar impian sendiri.

Ada satu kenangan lain yang masih segar dalam ingatan. Pernah aku berjalan-jalan bersama kakakku, lalu terlihat seorang lelaki yang asing di mataku. Spontan sahaja terpacul dari mulutku, “Anak siapa lah dia tu…” tanpa aku sendiri tahu mengapa aku berkata begitu. Aku terus berjalan tanpa menoleh lagi, seolah-olah tiada apa-apa.

Rupa-rupanya, lelaki asing itu adalah dia — insan yang sudah pun menjadi kawanku di WeChat. Aku terkesima bila menyedari hakikat itu. Seolah-olah Allah sudah mahu menunjukkan kepadaku lebih awal, bahawa dia akan hadir sebagai seseorang yang penting dalam hidupku.

Kadang-kadang aku terfikir, kalau hari itu aku tidak komen pada statusnya, mungkin kami masih kekal sebagai orang asing sampai hari ini. Tapi Allah, dengan rahsia-Nya yang indah, menyusun pertemuan kecil itu menjadi permulaan sebuah kisah besar dalam hidupku.

Permulaan Aku Menghafaz

Sudah tiga hari aku memulakan langkah kecil untuk kembali menghafaz al-Quran. Aku memilih untuk bermula dengan Surah al-Baqarah, halaman 2 hingga 4. Surah ini terasa agak mudah di awalnya kerana aku sudah terbiasa mendengarnya, menyebutnya, dan ia juga merupakan surah kedua dalam al-Quran.

Namun, sepanjang tiga hari ini, ada beberapa kesukaran yang aku hadapi. Pertama, ada kalimah-kalimah yang berulang sehingga aku kerap tersasul ke ayat lain. Kadang-kadang terasa macam otak sudah hafal, tapi lidah pula laju melangkah ke bahagian yang salah. Kedua, aku sering terlupa awal ayat – seakan-akan kosong sebentar sebelum aku dapat menyambungnya kembali.

Selain itu, aku juga tidak dapat menghafaz dengan kadar sehari satu muka surat seperti yang aku impikan. Kehidupan sebagai seorang yang bekerja dan dalam masa yang sama perlu mengurus anak-anak bersekolah membuatkan masa begitu terhad. Kadang-kadang aku hanya sempat mengulang sedikit sebelum tidur, atau di sela waktu senggang yang singkat. Walaupun begitu, aku tetap berusaha agar setiap hari ada juga walau sebaris ayat yang dapat aku ulang dan kuatkan hafalannya.

Dalam masa yang sama, aku bersyukur kerana ada kelebihan yang Allah mudahkan untukku. Sebagai seorang guru Bahasa Arab dan juga penuntut bidang Bahasa Arab, aku sudah terbiasa dengan susunan ayat dan maksudnya. Hal ini sangat membantu kerana aku bukan sekadar menghafaz bunyi, tetapi juga dapat mengingat maksud ayat mengikut urutan. Itu menjadikan hafazan terasa lebih dekat di hati dan lebih mudah untuk diingati.

Daripada pengalaman ini, aku sedar ada beberapa perkara penting yang perlu aku jaga untuk terus istiqamah:

  1. Perlu ulang hari-hari – tanpa pengulangan, hafalan cepat hilang. Lebih baik ulang sedikit setiap hari daripada banyak sekali tetapi ditinggalkan lama.

  2. Elakkan mendengar lagu-lagu lain – kerana alunan lagu mudah melekat dalam fikiran, dan kadang-kadang mengganggu tumpuan hafazan. Lebih baik telinga ini dibiasakan dengan bacaan al-Quran.

  3. Fokus ketika menghafaz – aku perlu pastikan hati dan fikiran betul-betul hadir, bukan sekadar baca sambil lalu. Bila fokus, ayat lebih mudah melekat di ingatan.

Walaupun ada cabaran, aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk bermula semula. Biarpun tersasul dan terlupa, aku mahu menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan indah ini. Setiap kesilapan adalah tanda bahawa aku sedang belajar, dan setiap ulang baca adalah satu bentuk kasih sayang Allah untuk mendekatkan aku dengan kalam-Nya.

🌸 Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk aku mengulang, mengingat, dan menyimpan ayat-ayat-Nya dalam hati.